Powerpuff Girls, Buttercup

Labels

favourite (8) umum (7) Ramadhan (3) life (3) info (2) saje (2) JAD (1) rAyA (1)

Tuesday, July 23, 2013

15 Ramadhan

Setelah 15 Ramadhan, baru ku sedar betapa kurangnya amalan di bulan Ramadhan tahun ini.
Baru ku sedar betapa kurangnya amalan infaq di bulan ini.
Baru ku sedar betapa kurangnya sujud malam kepada Illahi.

Ramadhan kini, berbeza dengan Ramadhan lalu.
Ramadhan lalu disambut dalam musim panas. Tempoh berpuasa hampir 18 jam lamanya. Waktu sahur seawal 0230 (waktu Jepun). Waktu berbuka selewat 1915 (waktu Jepun).

Ramadhan lalu Allah uji dengan ujian sebagai pelajar.
Hampir sepenuh hari diluangkan di makmal kerana poster presentation menanti setia.
Research ; pencapaiannya lambat, hari pembentangan semakin hampir.
Seawal sesudah sahur, terus ke makmal untuk menyiapkan eksperimen.
Sambil bereksperimen, sambil bertadarus. Mengelakkan ngantuk, dan hanya waktu itu boleh bertadarus dengan sekuat hati kerana tiada siapa di makmal.
Terawih diselang seli dengan eksperimen. Berkejar-kejar dari makmal ke surau. Semasa kesulitan, ku jadikan atap bangunan sebagai tempat terawihku. Satu-satunya tempat dikala hati sedang risau dengan masalah dunia. Tempat ku mengadu segala masalah pada Yang Maha Esa.
Allah terus menguji. Gagal dalam peperiksaan. Perlu ulang peperiksaan. Mata pelajaran yang melayakkan ku graduasi pada waktu yang sepatutnya. Hati risau, jiwa kacau. Tersedu-sedan mengadu nasib pada si pendengar setia. Diberinya kata-kata semangat. Disuruh ku kembali pada Rabbku. Terus tersedu-sedan mengadu nasib pada Rabb.
Iftar pun tiada masanya. Dan Allah kurniakan akhawat yang perihatin akan nasib, yang memberi makanan iftar untuk ku yang sibuk dengan hal sendiri.
Sungguh rezeki Allah berada di mana-mana dari tempat yang tidak disangka-sangka. Senyuman akhawat menemani iftar bersama mengubat segala gundah gulana jiwa.

Rabbku berfirman :

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..” (2:286)

Percaya pada janjiNya. Ku teruskan berjalan. Berjingkit-jingkit mengelak daripada kaki tertusuk duri yang bertaburan di jalanan.


Namun, semua kedukaan, kesedihan, kepayahan Allah ganjarkan dengan kejayaan. Allah kurniakan kegembiraan. Sujud syukur padaNya atas kurniaan yang diberikan. Hanya dengan rahmatNya, belas kasihanNya dan berkat doa mak, abah dan rakan-rakan yang membantu diri untuk terus kuat.

Dulu. Itu dulu. Ramadhan dulu.

Ramadhan kini lain ujiannya.
Allah uji dengan kesenangan. Senangnya cari masjid untuk terawih dengan sedapnya suara imam mengimami terawih di malam hari. Senangnya mencari juadah berbuka puasa, hanya di bazar berhampiran dengan kediaman.
Senangnya. Senang sekali.

Namun, dengan kesenangan itu, berapa helai Quran dibaca untuk tadarus Ramadhan? Berapa lama sujud malam hari mengharap pengampunan Illahi? Berapa banyak infaq diberikan ke jalan Allah? Berapa banyak rakaat solat sunat yang dilaksanakan?

Lebih senang, semakin kurang amal?

Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah.

Dipertemukan Ramadhan kali ini merupakan satu nikmat. Satu bonus dari Allah untuk hamba-hambaNya yang kurang amalan, yang kurang pahala. Janganlah kita tergolong antara mereka yang celaka ; mereka yang tidak mendapat pengampunan Rabbnya di bulan Ramadhan.

Ayuh hiasi 15 Ramadhan terakhir kita dengan amalan yang dekatkan diri dengan Rabb kita. Praktikkan puasa dengan sebaik-baiknya. Jaga pancaindera, jaga kemaluan, jaga akhlak, jaga semuanya. Bukan hanya menjaga lapar dan dahaga.

Jangan kita baziri baki Ramadhan ini dengan keseronokan jasad, sedangkan ruh kita meronta kesakitan.



Sunday, November 18, 2012

Seronok mengenalinya


Di sini, saya berkenalan dengan saudara seakidah yang berasal dari Pakistan. Seorang suri rumah tangga yang menemani suaminya belajar di universiti yang sama dengan saya. Banyak perkara yang saya belajar darinya. Perlakuannya banyak menginsafkan saya.

Tiang agama, solat 5 waktu sehari semalam.
Pernah bersolat bersama saudara dari Pakistan ini di surau universiti saya. Kami (pelajar Malaysia) duduk sambil berborak kosong selepas solat isyak jemaah. Kelihatan, saudara dari Pakistan itu memandang kami dengan pandangan yang semacam.
Mengapa?
Kerana kami tidak mengerjakan solat sunat selepas isyak.
Jika kita, solat sunat itu selari dengan hukumnya, tidak buat pun tidak mengapa. Kita mengambil cara lebih mudah untuk tidak mengerjakan perkara yang sunat itu.
Tetapi jika di Pakistan, solat sunat sebelum dan selepas solat wajib itu seperti wajib. Mereka mesti melakukannya. Begitu juga dengan solat sunat witir yang didirikan sebelum tidur.
Berbeza bukan? Jika difikirkan, mereka lebih banyak bertemu dengan Allah berbanding kita. Tidak iri hatikah?

Pernah sekali, kami berborak bersama. Sahabat saya bertanya kepada saudara seakidah itu tentang aktiviti yang dilakukannya semasa di rumah.
Jawapan pertama yang keluar dari mulutnya adalah, membaca al-Quran.
Subhanallah. Jika kita, dalam bulan penuh keberkatan, Ramadhan, insyaAllah ramai yang begitu. Jika bulan biasa, saya kurang pasti. Tetapi, kita kadang-kadang terasa malu untuk memberitahu sahabat yang baru kita kenali yang kita sering membaca al-Quran ketika di rumah. Ini kerana, perkara membaca al-Quran ketika masa lapang adalah perkara yang kurang biasa, ataupun dengan bahasa yang agak kasarnya ialah asing. Tetapi, hal ini tidak bagi saudara saya yang berasal dari Pakistan itu. Membaca al-Quran ketika waktu lapang itu ialah perkara biasa.

Terasa rapuhnyanya pegangan agama diri ini jika dibandingkan dengan saudara seislam di negara lain. Walaupun semua mengucap shahadah yang sama. Terlalu kuat pengaruh sekularism pada diri ini sehinggakan amalan seharian yang disarankan oleh Islam terasa asing dalam diri. Diri yang sedar perlu bangkit dan berusaha untuk membuang pengaruh sekularism dalam diri.

Terfikir.
Rasa iri hati terhadap saudara seakidah di Palestin, Syria dan negara lain yang berpeluang berjuang shahid dan menempah permaidani syurga di akhirat kelak. Allah memilih mereka kerana kelebihan yang ada pada mereka yang hanya Allah sahaja yang tahu. Menyertai mereka pergi ke Palestin dan sama-sama berperang tanpa ilmu berperang yang cukup adalah tindakan yang kurang bijak kerana kita masih ada senjata untuk menyumbang kepada peperangan yang berlaku ke atas mereka iaitu doa. Teruskan berdoa untuk kemenangan Islam yang kita sayangi. Janganlah berdoa setakat seminggu dua.
Kita juga perlu berjuang dalam bidang yang kita ceburi untuk jadi yang terbaik bagi mengharumkan nama agama kita. Semoga satu hari nanti, kehebatan Islam membuatkan yang lain tunduk kepada keputusan yang Islam buat dan semoga kita menyumbang ke arah itu.
Kemenangan Islam itu pasti, tetapi kita dalam barisan yang memenangkan Islam atau tidak adalah pilihan kita.
Semoga belas kasihan Allah sentiasa bersama kita. 

Thursday, November 15, 2012

Kalau sayang, kita buat apa?


Assalamualaikum..

Kalau kita sayangkan kucing (haiwan peliharaan), apa kita buat?
Mesti kita bagi makan. Kalau tidak pun kita belai.

Kalau kita sayangkan sahabat kita, apa kita buat untuk mereka?
Kita akan tolong mereka jika mereka dalam kesusahan, kita menjadi pendengar untuk masalah mereka, kita bergembira dan bersedih bersama.

Kalau kita sayangkan ibu dan ayah kita, apa kita buat?
Kita akan tolong mereka melakukan kerja rumah, pada hari kelahiran mereka kita sediakan hadiah, bila sudah bekerja kita sumbangkan wang ringgit.

Kalau kita sayangkan Rasulullah, apa kita buat?
Kita berselawat dan mengikut segala sunnah baginda.

Kesimpulannya, jika kita sayangkan sesuatu atau seseorang, kita akan tunjukkan kasih sayang kita dengan cara membantu mereka dan membuat mereka gembira!
Anda setuju?

Jika setuju, Alhamdulillah, sila teruskan pembacaan.
(bagi yang tidak setuju pun boleh teruskan pembacaan)

Sayangkah kita akan agama kita, agama Islam?
Apakah kasih sayang kita terhadap agama kita yang telah kita tunjukkan?
Apakah perancangan untuk melahirkan kasih sayang kita terhadap agama kita pada masa akan datang?

Mabruk (tahniah) dan Alhamdulillah pada mereka yang beragenda dalam melahirkan kasih sayang terhadap Islam.

Bagaimana dengan saya?
Saya juga dalam usaha melahirkan rasa kasih sayang saya terhadap Islam. Saya mengaku, ada masanya semangat, ada masanya merundum. Ini kerana hati itu bersifat bolak balik. Hanya Allah yang memegang hati-hati kita. Teruskan berdoa untuk ditetapkan hati di jalan-Nya.

Kalau sayangkan Islam, berdakwah sahajakah?
Banyak cara untuk melahirkan sayang kita kepada Islam.
Mengikut syariat Islam merupakan asas kita melahirkan rasa sayang kita kepada Islam. 
Solat 5 waktu sehari semalam jangan ditinggalkan dengan sengaja.
“Sungguh, solat itu adalah kewajiban yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman”(4:103)
“Dan perintahkanlah keluargamu melaksanakan solat dan sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang member rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa”(20:132)
Seterusnya, menutup aurat mengikut panduan yang ditetapkan.
“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang-orang mukmin, ‘Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.’ Yang demikian itu, agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu.”(33:59)
“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali…”(24:31)
Bukan ini sahaja, banyak lagi cara lain yang boleh kita lakukan untuk membantu Islam yang kita sayangi. Dengan menzahirkan kehidupan mengikut cara Islam dengan betul, mungkin secara kita tidak sedari, cara kita telah menggerakkan hati muslim yang lain untuk sama-sama mengikut mengamalkan cara Islam dalam hidup dan insyaAllah kita telah menyumbang kepada agama Islam yang kita sayangi!
Apa pun yang menggerakkan hati manusia itu adalah Allah, bukan kita, tetapi Allah menggerakkan hati manusia itu melalui pemerhatian mereka terhadap cara kita yang mengamalkan syariat Islam tadi.

Tidak susah bukan untuk melahirkan sayang kepada Islam!

Sesungguhnya, saya menyeru diri saya terlebih dahulu untuk beramal dengan lebih banyak untuk melahirkan sebanyak mungkin kasih sayang terhadap Islam.

Jika kita sayangkan sesuatu kita bantu mereka dan buat mereka gembira bukan? Islam sedang sakit dan bersedih sekarang ini. Ayuh bantu dan gembirakan Islam!
Sempena tahun baru ini, marilah kita sama-sama berazam untuk lebih sayang akan agama kita dan menunjukkan kasih sayang kita terhadap Islam dengan lebih jitu lagi. InsyaAllah.


“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”(47:7)

Monday, October 29, 2012

Daie + Pelajar = ?


Waktu : 17:26
Tempat : bilik 171 (bilik eksperimen)

“Penat betul hari ini! Eksperimen yang aku jangka boleh siap sebelum tengah hari, masih belum siap lagi. Hari ini memang tak larat! Pembelian tiket untuk ke program bermasalah pula.”

Bulan 12 nanti ada program Jalinan Ukhuwwah Musim Sejuk (JUMS) di Korea. Dengan rela hati aku menawar diri untuk menguruskan pembelian tiket. Aku harus beli tiket dengan segera, takut tiket semakin mahal.
Research, masih seperti itu. Masih belum dapat aku cari story yang sesuai untuk thesis aku.

Inilah kehidupan pelajar yang bergelar daie. Bukan sekadar belajar, namun harus menyumbang untuk agama. Pelajaran yang diutamakan, dakwah jadi sampingan juga bukan. Segalanya harus bergerak seiring kerana kita dicipta sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi Allah. Semua itu tanggungjawab kita. Dakwah dan belajar, semuanya tugas untuk memakmurkan bumi Allah. Harus kita laksanakan.
Ramai yang fikir, “buat apa susah-susah cari kerja lain, berdakwah bagai. Fokus pada pelajaran je”. Jika dipandang dengan mata kasar, dakwah itu kelihatan sangat berat tidak tertanggung dek bahu untuk menggalasnya. Tetapi, cuba kita pandang dengan mata hati, kita pasti akan lihat satu yang luar biasa.
Sahabat saya kata, “bukan dakwah itu yang susah, tapi bagaimana kita mahu serasikan dakwah dengan kehidupan kita yang susah”. Tenang hati ketika mendengar kata-kata sahabat ini. :)
Ayuh, kita buka kembali lembaran ayat suci al-Quran, mencari janji-janjiNya
Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, “Sungguh,aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri)” (41:33)
…jika ada kebajikan (sekecil zarah), niscaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan pahala yang besar di sisi-Nya (4:40)
Percaya akan janji-Nya! Pegang janji-Nya, kerana Dia tidak memungkiri janji-janjiNya.
Diakui, kadang-kadang diri tergoda dengan bisikan syaitan dan keinginan hawa nafsu.
“sudah-sudahlah dengan kerja dakwah, pelajaran pun tertinggal. Pelajaran perlu diutamakan!”
Tetapi, Allah berfirman,
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah,niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (47:7)
Pada Allah kita mengadu segala masalah. Hanya Dia ada jalan penyelesaiannya. 
Ye, segalanya perlukan pengorbanan. Berkorban masa, wang, perasaan, keinginan dan lain-lain. Namun sebenarnya, segala pengorbanan itu adalah cara Allah mentarbiyyah diri kita untuk menjadi khalifah yang lebih baik pada hari mendatang. Jangan jemu dengan ujian yang memerlukan kita untuk terus berkorban, tetapi risaulah jika kita rasa kehidupan kita begitu selesa tanpa ujian. Apabila kita rasa sudah tidak terbendung perasaan letih, teruslah menadah tangan dan berdoa kepada Allah, kerana semuanya dibawah kekuasaan-Nya!
…Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku…(2:186)
Allah suka mendengar doa hamba-hambaNya. Teruskanlah berdoa dan berdoalah dengan bersungguh-sungguh. Jika bukan esok Allah memakbulkan doamu, mungkin beberapa tahun kemudian, hatimu akan katakan, “Allah telah memakbulkan doaku!”.
Daie + pelajar = bantuan Allah + ganjaran berlipat ganda+ membentuk manusia yang lebih baik + …
Tidakkah berbaloi segala pengorbanan kita itu? Bukan pelajar yang menjadi daie sahaja yang berkorban, semua orang berkorban. Berkorban dalam bidang masing-masing.
Wahai saudaraku, teruskanlah berkorban kerana Yang Maha Melihat akan memberikan ganjaran yang berlipat kali ganda atas pengorbananmu. Ayuh kita ikhlaskan hati!

Friday, September 7, 2012

Alhamdulillah for everything


Ada tonton satu video di youtube dan suka akan ayat dalam video tu.
“Alhamdulillah for everything”
Allah uji kita dengan berbagai cara. Melalui nikmat, dugaan, kegagalan dan macam-macam lagi.
Allah juga berikan kita rezeki dan kemudahan dari pelbagai sudut yang kadang-kadang kita sendiri tidak sedari.
Apa pun yang Allah kurnia dan uji kita perlu bersyukur dan berlapang dada.
“Alhamdulillah for everything”
Kadang-kadang kita rasa tak larat untuk hadapi semua ujian. Tapi kita kene percaya bahawa
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. (2:286)”
Oleh sebab itu, jangan doa untuk dijauhkan dari segala dugaan dan cabaran. Tapi berdoa supaya dikuatkan iman dan hati atas segala dugaan dan cabaran. Saya juga suka berdoa supaya Allah singkapkan hikmah atas segala dugaan, cabaran dan nikmat yang Allah kurniakan kepada saya.
Sebagai hamba-Nya, kita tidak layak untuk persoalkan mengapa dan kenapa Allah uji kita dengan ujian yang kita rasa berat kerana hanya Pencipta yang mempunyai ilmu tentang ciptaan-Nya dan hanya Allah yang tahu akan masa hadapan.

Allah terlalu baik!
Ada masanya, Allah tunjukkan bahawa Dia makbulkan doa kita. Alhamdulillah.
Tetapi diri ini masih alpa dan lalai akan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi-Nya. Apabila sedar akan kealpaan diri sendiri, bukan bermakna duduk diam dan sedih sendirian, tetapi harus bangun and make Allah pleased!
Ye, memang rasa susah untuk bangun. Kita harus ingat bahawa yang Maha Kuat dan Maha Kaya adalah Dia dan kepada-Nya harus kita berdoa mohon kekuatan.
“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar. (2:153) ”
Semoga diri ini lebih dahulu bertindak untuk membaiki diri dan iman. Dan semoga Allah buka pintu hati kita semua (saya dan para pembaca) untuk melakukan lebih banyak kebajikan. Kebajikan itu syurga balasannya.
“Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak akan Kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. (4:57)”
“Dan barang siapa mengerjakan amal kebajikan, baik laki-laki maupun perempuan sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalamsyurga dan mereka tidak dizalimi sedikit pun (4:124)”
-Salam Aidilfitri-

Friday, July 20, 2012

The biggest sale in the whole year!



Ramadhan datang lagi.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana kita semua diberikan peluang untuk bernafas dan berjumpa dengan Ramadhan untuk tahun 1433h ini.
Apa kaitan biggest sale dengan Ramadhan?
Sebelum menjawab dengan lebih lanjut, kita tonton dulu video di bawah. Video khutbah Rasulullah tentang Ramadhan.

Inilah rahmat Allah yang dikurniakan kepada kita semua sepanjang bulan Ramadhan. Allah buka pintu-pintu syurga, tutup pintu-pintu neraka dan mengikat syaitan-syaitan sepanjang bulan Ramadhan ini. Allah beri ganjaran amalan berlipat kali ganda dan nafas kita Allah kira sebagai tasbih! Jelas, betapa besar rahmat Allah di bulan Ramadhan ini sehingga nafas ada ganjarannya yang tersendiri.
Sebagai ingatan kepada saya khususnya, dimanakah kita ketika Allah buka jualan hebat untuk hamba-hambanya? Ketika Allah berikan rahmatNya, adakah kita berusaha memilikinya? Allah buka pintu syurga seluas-luasnya dan tutup pintu-pintu neraka serapat-rapatnya kerana Allah mahu semua hamba-hambanya merasa nikmat syurga, tetapi adakah kita sentiasa berdoa untuk ke syurga Allah?  Kasihnya Allah kepada kita dengan memberi ganjaran khatam satu al-Quran di bulan lain hanya dengan membaca satu ayat al-Quran di bulan Ramadhan, adakah kita berusaha memiliki kasih Allah itu sedalam-dalamnya?
Astaghfirullah, hina rasa diri ini kerana sentiasa alpa dan lalai dengan kehidupan dunia sedangkan Allah sentiasa membuka peluang untuk kita kembali kepadaNya terutamanya ketika bulan Ramadhan. Mari kita menahan keburukan kita dan semoga Allah menahan kemurkaanNya pada kita di akhirat kelak. Semoga Ramadhan tahun ini dapat memberikan lebih banyak manfaat kepada kita sebagai bekalan di bulan-bulan yang berikutnya. Perbanyakkanlah amalan kita sepanjang Ramadhan tahun ini seperti ini Ramadhan terakhir kita kerana sememangnya kita tidak pasti sama ada kita dapat bertemu Ramadhan 1434h nanti.
“Sesungguhnya di syurga terdapat sebuah pintu yang dinamakan Al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari kiamat. Tiada seseorang pun yang akan melalui pintu ini kecuali mereka. Dikatakan: Mana orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka semua berdiri. Tidak ada seorang pun yang melalui pintu ini kecuali mereka. Apabila mereka semua telah masuk, pintu ini akan ditutup dan tidak ada seorang pun yang akan masuk melaluinya”(Riwayat Bukhari & Muslim)
Semoga kita semua termasuk dalam golongan di atas. Semoga rahmat Allah sentiasa bersama kita dan harap saya dapat masuk pintu Al-Rayyan bersama-sama anda semua!

Sunday, July 15, 2012

Perlakuan yang sekejap menentukan balasan yang lama



Perlakuan yang sekejap, balasan yang lama?
Di sini, perlakuan yang sekejap bermaksud perlakuan kita di dunia ini. Mengapa sekejap?
“Para malaikat dan jibril naik (menghadap) kepada Tuhan, dalam sehari setara dengan lima puluh ribu tahun”(70:4)
Berdasarkan ayat di atas, para ulamak membandingkan bahawa sehari di akhirat bersamaan dengan 50,000 tahun di dunia. Bermaksud, jika dibandingkan dengan hari akhirat, dunia ini sememangnya sekejap. Ayuh kita mengira. Pegang kalkulator masing-masing. Jika kita melakukan kesalahan (dosa) dalam masa sesaat, jika Allah balas dengan balasan yang sesaat di akhirat, lebih kurang bersamaan dengan setengah hari (12 jam) dunia. Contoh yang paling senang, kita mengumpat saudara seIslam kita dalam masa 30 saat, bayangkan berapa lama kita di balas dengan memakan daging saudara sendiri di akhirat kelak. Azab balasan Allah itu hanya Allah sahaja yang tahu, saya tidak layak menilai tentang itu, tetapi di sini kita haruslah bersama-sama muhasabah diri kita tentang perlakuan kita di dunia ini yang menentukan kehidupan kita di akhirat kelak. Boleh jadi, perbuatan baik kita yang hanya sesaat di dunia ini diberi ganjaran yang lama oleh Allah di akhirat kelak.
Kita harus ingat balasan Allah terhadap perlakuan dosa yang kita lakukan tapi bukanlah bermakna kita berputus asa dan terus menerus melakukan kesalahan dan dosa kerana merasakan diri ini sudah terlalu banyak melakukan dosa dan seperti sudah tiada pengampunan dari Allah. Sebaliknya, kita harus balik kembali kepada Allah. Dia maha mengetahui, maha pengampun, maha pengasih lagi maha penyayang. Ya, ada masa kita rasa hina untuk memohon ampun kepada Allah atas segala kesalahan dan kealpaan kita terhadap perintah dan larangan-Nya. Tetapi hanya Dia yang boleh mengampunkan kita dan kembali kepadaNya adalah solusi yang terbaik bagi setiap kesalahan yang kita lakukan. Tiada erti terlambat dalam bertaubat kecuali apabila matahari sudah terbit dari barat ke timur. Nauzubillahuminzalik.
Adakalanya, saya sendiri merasakan bahawa saya tidak layak menulis tentang ini kerana diri ini juga banyak dosa terhadap Allah, namun, saya harap perkongsian yang sedikit ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. Semoga saya yang terlebih dahulu sedar dan memperbanyakkan amal kerana Allah.
 “Ya Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab api neraka”(2:201)