Powerpuff Girls, Buttercup

Labels

favourite (8) umum (7) Ramadhan (3) life (3) info (2) saje (2) JAD (1) rAyA (1)

Thursday, June 28, 2012

Aku dan Syaaban


Kini sudah satu pertiga Syaaban. Dulu semasa kecil, aku tidak pernah merasakan keistimewaan Syaaban. Apa yang aku tahu, Ramadhan lagi sebulan dan bazaar Ramadhan akan ada di pekan nanti.

Sebelum bukak puasa, round satu bazaar mmg best. Makanan sedap-sedap, air warna warni, murtabak, ikan keli bakar. Sedap!

Kata hati aku semasa kecil hinggalah 2 tahun yang lalu. Satu lagi kenangan yang masing tinggal di kotak fikiranku, pada 15 Syaaban akan buat bacaan yassin 3 kali dengan niat diampunkan dosa, dimurahkan rezeki dan menolak bala sebab pada waktu maghrib buku amalan kita diangkat ke langit.

Itulah kenangan bulan Syaaban aku.

Alhamdulillah, kini Allah buka pandangan mata dan kotak pemikiranku terhadap bulan Syaaban. Berada dalam tarbiyah membuatkan aku faham banyak benda tentang agama yang aku anuti. Dulu aku fikir aku dah cukup faham agama aku.

Sekolah agama Johor lulus sampai darjah khas, ilmu penuh di dada.

Pemikiran aku dulu. Jelas sangkaan aku salah. Banyak lagi ilmu agama aku yang aku tidak tahu. Sebelum ini, aku terima saja apa yang orang kata tentang Islam dan percaya. Alhamdulillah, kini aku akan percaya sesuatu perkara tentang Islam jika terdapat dalil dalam al-Quran atau hadith. Jika pandangan para ulamak, aku cuba fahami dengan betul-betul sebelum menerima atau mempercayai sesuatu itu.

Kini, semua ini juga telah mengubah persepsi aku terhadap Syaaban. Ternyata Syaaban bukan bulan biasa. Pada bulan inilah Rasulullah perbanyakkan ibadah puasa baginda dan ini jelas dalam hadith sohih ;

Daripada Saidatina Aisyah Radhiallahuanha, dia telah berkata yang bermaksud: Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak  dari puasanya di bulan Syaaban. Riwayat Bukhari dan Muslim-

Berdasarkan hadith yang lain dari kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty;

Dari Usamah b Zaid r.a berkata, "Aku bertanya, ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain sepertimana engkau berpuasa di bulan Syaaban". Rasulullah bersabda, "Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, di antara Rejab dan Ramadhan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa" -Riwakat An-Nasaie-

Memang ternyata benar. Dulu, semasa bulan Rejab, aku sering berpuasa tetapi apabila sampai bulan Syaaban berehat, dengan alasan;
"Berehat sebelum bulan Ramadhan. Bila dah bulan Ramadhan tak boleh tak puasa."
Astagfirullah, teruk aku pada waktu itu. Alhamdulillah kini ada perubahan dan aku mohon ya Allah agar aku dapat berusaha menjadi yang lebih baik di masa akan datang.
Aminn.

Perbanyakkan puasa di bulan Syaaban adalah salah satu strategi untuk cemerlang berpuasa dalam bulan Ramadhan;

 Dari At-Tarmizi dengan sanad-sanadnya dari Anas r.a. dia berkata, Nabi s.a.w. ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang terafdhal berpuasa. Nabi s.a.w. menjawab bermaksud, Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan. Nabi s.a.w. ditanya lagi, Sedekah apakah yang terafdhal?. Nabi saw menjawab, Sedekah di bulan Ramadan. Kata At-Tarmizi, hadis ini hadis Hasan Sahih.

Bukan setakat puasa yang perlu kita perbanyakkan dalam bulan Syaaban ini, segala amalan sunat, solat malam, infak dan sebagainya. Berdasarkan hadith di atas, jelas mengatakan sedekah yang paling afdhal adalah sedekah di bulan Ramadhan, tetapi adakah kita mampu memperbanyakkan sedekah kita di bulan Ramadhan jika kita tidak mula dari sekarang? Perkara yang sama terhadap amalan ibadah sunat. Mampukah kita untuk solat sunat terawih 8-20 rakaat jika kita tidak perbanyakkan amalan sunat dari sekarang?

Cakap memang senang, nak buat tidak semudah itu. Ye aku akui itu. Memang kita perlukan kekuatan untuk semua ini. Pada aku, jika mahukan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai perlu ada kesusahan dan kepayahan di dunia.

Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal kebajikan, kelak akan kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan janji Allah itu benar.(4:122))

 Ya Allah, kekuatan itu hanya ada pada-Mu dan aku mohon Kau pinjamkan aku kekuatan itu.