Kini sudah satu
pertiga Syaaban. Dulu semasa kecil, aku tidak pernah merasakan keistimewaan Syaaban.
Apa yang aku tahu, Ramadhan lagi sebulan dan bazaar Ramadhan akan ada di pekan
nanti.
“Sebelum bukak puasa, round satu bazaar mmg best.
Makanan sedap-sedap, air warna warni, murtabak, ikan keli bakar. Sedap!”
Kata hati aku
semasa kecil hinggalah 2 tahun yang lalu. Satu lagi kenangan yang masing
tinggal di kotak fikiranku, pada 15 Syaaban akan buat bacaan yassin 3 kali dengan niat
diampunkan dosa, dimurahkan rezeki dan menolak bala sebab pada waktu maghrib
buku amalan kita diangkat ke langit.
Itulah kenangan
bulan Syaaban aku.
Alhamdulillah,
kini Allah buka pandangan mata dan kotak pemikiranku terhadap bulan Syaaban.
Berada dalam tarbiyah membuatkan aku faham banyak benda tentang agama yang aku
anuti. Dulu aku fikir aku dah cukup faham agama aku.
“Sekolah agama Johor lulus sampai darjah khas,
ilmu penuh di dada.”
Pemikiran aku
dulu. Jelas sangkaan aku salah. Banyak lagi ilmu agama aku yang aku tidak tahu.
Sebelum ini, aku terima saja apa yang orang kata tentang Islam dan percaya.
Alhamdulillah, kini aku akan percaya sesuatu perkara tentang Islam jika
terdapat dalil dalam al-Quran atau hadith. Jika pandangan para ulamak, aku cuba
fahami dengan betul-betul sebelum menerima atau mempercayai sesuatu itu.
Kini, semua ini
juga telah mengubah persepsi aku terhadap Syaaban. Ternyata Syaaban bukan bulan
biasa. Pada bulan inilah Rasulullah perbanyakkan ibadah puasa baginda dan ini
jelas dalam hadith sohih ;
Daripada
Saidatina Aisyah Radhiallahuanha, dia telah berkata yang bermaksud: “Adalah
Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa
berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah
akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan
penuh kecuali pada bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Rasulullah
berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak dari puasanya di bulan Syaaban.” –Riwayat Bukhari
dan Muslim-
Berdasarkan
hadith yang lain dari kitab Al-Mutajir
Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz
Ad-Dimyaty;
Dari Usamah b
Zaid r.a berkata, "Aku bertanya, ya Rasulullah. Aku tidak
pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain sepertimana engkau
berpuasa di bulan Syaaban". Rasulullah bersabda, "Ia adalah bulan
yang manusia lalai terhadapnya, di antara Rejab dan Ramadhan. Ia adalah bulan
yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam, maka aku suka amalanku
diangkat sedang aku berpuasa" -Riwakat
An-Nasaie-
Memang ternyata
benar. Dulu, semasa bulan Rejab, aku sering berpuasa tetapi apabila sampai
bulan Syaaban berehat, dengan alasan;
"Berehat
sebelum bulan Ramadhan. Bila dah bulan Ramadhan tak boleh tak puasa."
Astagfirullah,
teruk aku pada waktu itu. Alhamdulillah kini ada perubahan dan aku mohon ya
Allah agar aku dapat berusaha menjadi yang lebih baik di masa akan datang.
Aminn.
Perbanyakkan
puasa di bulan Syaaban adalah salah satu strategi untuk cemerlang berpuasa
dalam bulan Ramadhan;
Dari At-Tarmizi dengan sanad-sanadnya dari Anas r.a. dia
berkata, “Nabi s.a.w. ditanya apakah bulan selepas
Ramadan yang terafdhal berpuasa”. Nabi s.a.w. menjawab
bermaksud, “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan”. Nabi s.a.w. ditanya
lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi saw
menjawab, “Sedekah di bulan Ramadan”. Kata At-Tarmizi, hadis ini hadis Hasan Sahih.
Bukan setakat puasa yang perlu kita perbanyakkan dalam bulan Syaaban
ini, segala amalan sunat, solat malam, infak dan sebagainya. Berdasarkan hadith
di atas, jelas mengatakan sedekah yang paling afdhal adalah sedekah di bulan Ramadhan,
tetapi adakah kita mampu memperbanyakkan sedekah kita di bulan Ramadhan jika
kita tidak mula dari sekarang? Perkara yang sama terhadap amalan ibadah sunat.
Mampukah kita untuk solat sunat terawih 8-20 rakaat jika kita tidak perbanyakkan
amalan sunat dari sekarang?
Cakap memang senang, nak buat
tidak semudah itu. Ye aku akui itu. Memang kita perlukan kekuatan untuk semua
ini. Pada aku, jika mahukan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai
perlu ada kesusahan dan kepayahan di dunia.
“Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal kebajikan, kelak
akan kami masukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,
mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan janji Allah itu benar.”(4:122))
Ya Allah, kekuatan itu
hanya ada pada-Mu dan aku mohon Kau pinjamkan aku kekuatan itu.
No comments:
Post a Comment