Powerpuff Girls, Buttercup

Labels

favourite (8) umum (7) Ramadhan (3) life (3) info (2) saje (2) JAD (1) rAyA (1)

Sunday, November 18, 2012

Seronok mengenalinya


Di sini, saya berkenalan dengan saudara seakidah yang berasal dari Pakistan. Seorang suri rumah tangga yang menemani suaminya belajar di universiti yang sama dengan saya. Banyak perkara yang saya belajar darinya. Perlakuannya banyak menginsafkan saya.

Tiang agama, solat 5 waktu sehari semalam.
Pernah bersolat bersama saudara dari Pakistan ini di surau universiti saya. Kami (pelajar Malaysia) duduk sambil berborak kosong selepas solat isyak jemaah. Kelihatan, saudara dari Pakistan itu memandang kami dengan pandangan yang semacam.
Mengapa?
Kerana kami tidak mengerjakan solat sunat selepas isyak.
Jika kita, solat sunat itu selari dengan hukumnya, tidak buat pun tidak mengapa. Kita mengambil cara lebih mudah untuk tidak mengerjakan perkara yang sunat itu.
Tetapi jika di Pakistan, solat sunat sebelum dan selepas solat wajib itu seperti wajib. Mereka mesti melakukannya. Begitu juga dengan solat sunat witir yang didirikan sebelum tidur.
Berbeza bukan? Jika difikirkan, mereka lebih banyak bertemu dengan Allah berbanding kita. Tidak iri hatikah?

Pernah sekali, kami berborak bersama. Sahabat saya bertanya kepada saudara seakidah itu tentang aktiviti yang dilakukannya semasa di rumah.
Jawapan pertama yang keluar dari mulutnya adalah, membaca al-Quran.
Subhanallah. Jika kita, dalam bulan penuh keberkatan, Ramadhan, insyaAllah ramai yang begitu. Jika bulan biasa, saya kurang pasti. Tetapi, kita kadang-kadang terasa malu untuk memberitahu sahabat yang baru kita kenali yang kita sering membaca al-Quran ketika di rumah. Ini kerana, perkara membaca al-Quran ketika masa lapang adalah perkara yang kurang biasa, ataupun dengan bahasa yang agak kasarnya ialah asing. Tetapi, hal ini tidak bagi saudara saya yang berasal dari Pakistan itu. Membaca al-Quran ketika waktu lapang itu ialah perkara biasa.

Terasa rapuhnyanya pegangan agama diri ini jika dibandingkan dengan saudara seislam di negara lain. Walaupun semua mengucap shahadah yang sama. Terlalu kuat pengaruh sekularism pada diri ini sehinggakan amalan seharian yang disarankan oleh Islam terasa asing dalam diri. Diri yang sedar perlu bangkit dan berusaha untuk membuang pengaruh sekularism dalam diri.

Terfikir.
Rasa iri hati terhadap saudara seakidah di Palestin, Syria dan negara lain yang berpeluang berjuang shahid dan menempah permaidani syurga di akhirat kelak. Allah memilih mereka kerana kelebihan yang ada pada mereka yang hanya Allah sahaja yang tahu. Menyertai mereka pergi ke Palestin dan sama-sama berperang tanpa ilmu berperang yang cukup adalah tindakan yang kurang bijak kerana kita masih ada senjata untuk menyumbang kepada peperangan yang berlaku ke atas mereka iaitu doa. Teruskan berdoa untuk kemenangan Islam yang kita sayangi. Janganlah berdoa setakat seminggu dua.
Kita juga perlu berjuang dalam bidang yang kita ceburi untuk jadi yang terbaik bagi mengharumkan nama agama kita. Semoga satu hari nanti, kehebatan Islam membuatkan yang lain tunduk kepada keputusan yang Islam buat dan semoga kita menyumbang ke arah itu.
Kemenangan Islam itu pasti, tetapi kita dalam barisan yang memenangkan Islam atau tidak adalah pilihan kita.
Semoga belas kasihan Allah sentiasa bersama kita. 

Thursday, November 15, 2012

Kalau sayang, kita buat apa?


Assalamualaikum..

Kalau kita sayangkan kucing (haiwan peliharaan), apa kita buat?
Mesti kita bagi makan. Kalau tidak pun kita belai.

Kalau kita sayangkan sahabat kita, apa kita buat untuk mereka?
Kita akan tolong mereka jika mereka dalam kesusahan, kita menjadi pendengar untuk masalah mereka, kita bergembira dan bersedih bersama.

Kalau kita sayangkan ibu dan ayah kita, apa kita buat?
Kita akan tolong mereka melakukan kerja rumah, pada hari kelahiran mereka kita sediakan hadiah, bila sudah bekerja kita sumbangkan wang ringgit.

Kalau kita sayangkan Rasulullah, apa kita buat?
Kita berselawat dan mengikut segala sunnah baginda.

Kesimpulannya, jika kita sayangkan sesuatu atau seseorang, kita akan tunjukkan kasih sayang kita dengan cara membantu mereka dan membuat mereka gembira!
Anda setuju?

Jika setuju, Alhamdulillah, sila teruskan pembacaan.
(bagi yang tidak setuju pun boleh teruskan pembacaan)

Sayangkah kita akan agama kita, agama Islam?
Apakah kasih sayang kita terhadap agama kita yang telah kita tunjukkan?
Apakah perancangan untuk melahirkan kasih sayang kita terhadap agama kita pada masa akan datang?

Mabruk (tahniah) dan Alhamdulillah pada mereka yang beragenda dalam melahirkan kasih sayang terhadap Islam.

Bagaimana dengan saya?
Saya juga dalam usaha melahirkan rasa kasih sayang saya terhadap Islam. Saya mengaku, ada masanya semangat, ada masanya merundum. Ini kerana hati itu bersifat bolak balik. Hanya Allah yang memegang hati-hati kita. Teruskan berdoa untuk ditetapkan hati di jalan-Nya.

Kalau sayangkan Islam, berdakwah sahajakah?
Banyak cara untuk melahirkan sayang kita kepada Islam.
Mengikut syariat Islam merupakan asas kita melahirkan rasa sayang kita kepada Islam
Solat 5 waktu sehari semalam jangan ditinggalkan dengan sengaja.
Sungguh, solat itu adalah kewajiban yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman”(4:103)
Dan perintahkanlah keluargamu melaksanakan solat dan sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang member rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa”(20:132)
Seterusnya, menutup aurat mengikut panduan yang ditetapkan.
Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang-orang mukmin, ‘Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.’ Yang demikian itu, agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu.”(33:59)
Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali…”(24:31)
Bukan ini sahaja, banyak lagi cara lain yang boleh kita lakukan untuk membantu Islam yang kita sayangi. Dengan menzahirkan kehidupan mengikut cara Islam dengan betul, mungkin secara kita tidak sedari, cara kita telah menggerakkan hati muslim yang lain untuk sama-sama mengikut mengamalkan cara Islam dalam hidup dan insyaAllah kita telah menyumbang kepada agama Islam yang kita sayangi!
Apa pun yang menggerakkan hati manusia itu adalah Allah, bukan kita, tetapi Allah menggerakkan hati manusia itu melalui pemerhatian mereka terhadap cara kita yang mengamalkan syariat Islam tadi.

Tidak susah bukan untuk melahirkan sayang kepada Islam!

Sesungguhnya, saya menyeru diri saya terlebih dahulu untuk beramal dengan lebih banyak untuk melahirkan sebanyak mungkin kasih sayang terhadap Islam.

Jika kita sayangkan sesuatu kita bantu mereka dan buat mereka gembira bukan? Islam sedang sakit dan bersedih sekarang ini. Ayuh bantu dan gembirakan Islam!
Sempena tahun baru ini, marilah kita sama-sama berazam untuk lebih sayang akan agama kita dan menunjukkan kasih sayang kita terhadap Islam dengan lebih jitu lagi. InsyaAllah.


Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”(47:7)