Powerpuff Girls, Buttercup

Labels

favourite (8) umum (7) Ramadhan (3) life (3) info (2) saje (2) JAD (1) rAyA (1)

Friday, July 20, 2012

The biggest sale in the whole year!



Ramadhan datang lagi.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana kita semua diberikan peluang untuk bernafas dan berjumpa dengan Ramadhan untuk tahun 1433h ini.
Apa kaitan biggest sale dengan Ramadhan?
Sebelum menjawab dengan lebih lanjut, kita tonton dulu video di bawah. Video khutbah Rasulullah tentang Ramadhan.

Inilah rahmat Allah yang dikurniakan kepada kita semua sepanjang bulan Ramadhan. Allah buka pintu-pintu syurga, tutup pintu-pintu neraka dan mengikat syaitan-syaitan sepanjang bulan Ramadhan ini. Allah beri ganjaran amalan berlipat kali ganda dan nafas kita Allah kira sebagai tasbih! Jelas, betapa besar rahmat Allah di bulan Ramadhan ini sehingga nafas ada ganjarannya yang tersendiri.
Sebagai ingatan kepada saya khususnya, dimanakah kita ketika Allah buka jualan hebat untuk hamba-hambanya? Ketika Allah berikan rahmatNya, adakah kita berusaha memilikinya? Allah buka pintu syurga seluas-luasnya dan tutup pintu-pintu neraka serapat-rapatnya kerana Allah mahu semua hamba-hambanya merasa nikmat syurga, tetapi adakah kita sentiasa berdoa untuk ke syurga Allah?  Kasihnya Allah kepada kita dengan memberi ganjaran khatam satu al-Quran di bulan lain hanya dengan membaca satu ayat al-Quran di bulan Ramadhan, adakah kita berusaha memiliki kasih Allah itu sedalam-dalamnya?
Astaghfirullah, hina rasa diri ini kerana sentiasa alpa dan lalai dengan kehidupan dunia sedangkan Allah sentiasa membuka peluang untuk kita kembali kepadaNya terutamanya ketika bulan Ramadhan. Mari kita menahan keburukan kita dan semoga Allah menahan kemurkaanNya pada kita di akhirat kelak. Semoga Ramadhan tahun ini dapat memberikan lebih banyak manfaat kepada kita sebagai bekalan di bulan-bulan yang berikutnya. Perbanyakkanlah amalan kita sepanjang Ramadhan tahun ini seperti ini Ramadhan terakhir kita kerana sememangnya kita tidak pasti sama ada kita dapat bertemu Ramadhan 1434h nanti.
“Sesungguhnya di syurga terdapat sebuah pintu yang dinamakan Al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari kiamat. Tiada seseorang pun yang akan melalui pintu ini kecuali mereka. Dikatakan: Mana orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka semua berdiri. Tidak ada seorang pun yang melalui pintu ini kecuali mereka. Apabila mereka semua telah masuk, pintu ini akan ditutup dan tidak ada seorang pun yang akan masuk melaluinya”(Riwayat Bukhari & Muslim)
Semoga kita semua termasuk dalam golongan di atas. Semoga rahmat Allah sentiasa bersama kita dan harap saya dapat masuk pintu Al-Rayyan bersama-sama anda semua!

Sunday, July 15, 2012

Perlakuan yang sekejap menentukan balasan yang lama



Perlakuan yang sekejap, balasan yang lama?
Di sini, perlakuan yang sekejap bermaksud perlakuan kita di dunia ini. Mengapa sekejap?
Para malaikat dan jibril naik (menghadap) kepada Tuhan, dalam sehari setara dengan lima puluh ribu tahun”(70:4)
Berdasarkan ayat di atas, para ulamak membandingkan bahawa sehari di akhirat bersamaan dengan 50,000 tahun di dunia. Bermaksud, jika dibandingkan dengan hari akhirat, dunia ini sememangnya sekejap. Ayuh kita mengira. Pegang kalkulator masing-masing. Jika kita melakukan kesalahan (dosa) dalam masa sesaat, jika Allah balas dengan balasan yang sesaat di akhirat, lebih kurang bersamaan dengan setengah hari (12 jam) dunia. Contoh yang paling senang, kita mengumpat saudara seIslam kita dalam masa 30 saat, bayangkan berapa lama kita di balas dengan memakan daging saudara sendiri di akhirat kelak. Azab balasan Allah itu hanya Allah sahaja yang tahu, saya tidak layak menilai tentang itu, tetapi di sini kita haruslah bersama-sama muhasabah diri kita tentang perlakuan kita di dunia ini yang menentukan kehidupan kita di akhirat kelak. Boleh jadi, perbuatan baik kita yang hanya sesaat di dunia ini diberi ganjaran yang lama oleh Allah di akhirat kelak.
Kita harus ingat balasan Allah terhadap perlakuan dosa yang kita lakukan tapi bukanlah bermakna kita berputus asa dan terus menerus melakukan kesalahan dan dosa kerana merasakan diri ini sudah terlalu banyak melakukan dosa dan seperti sudah tiada pengampunan dari Allah. Sebaliknya, kita harus balik kembali kepada Allah. Dia maha mengetahui, maha pengampun, maha pengasih lagi maha penyayang. Ya, ada masa kita rasa hina untuk memohon ampun kepada Allah atas segala kesalahan dan kealpaan kita terhadap perintah dan larangan-Nya. Tetapi hanya Dia yang boleh mengampunkan kita dan kembali kepadaNya adalah solusi yang terbaik bagi setiap kesalahan yang kita lakukan. Tiada erti terlambat dalam bertaubat kecuali apabila matahari sudah terbit dari barat ke timur. Nauzubillahuminzalik.
Adakalanya, saya sendiri merasakan bahawa saya tidak layak menulis tentang ini kerana diri ini juga banyak dosa terhadap Allah, namun, saya harap perkongsian yang sedikit ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. Semoga saya yang terlebih dahulu sedar dan memperbanyakkan amal kerana Allah.
 “Ya Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab api neraka”(2:201)

Sunday, July 1, 2012

Nisfu Syaaban



Nisfu Syaaban bermaksud pertengahan Syaaban iaitu 15 Syaaban yang mana buku amalan kita untuk satu tahun diangkat ke langit pada 14 Syaaban(sebelum maghrib 15 Syaaban) dan digantikan dengan buku amalan yang baru(waktu maghrib 15 Syaaban) untuk sepanjang tahun yang berikutnya. 

Berdasarkan hasil pembacaan, berbeza dengan solat sunat terawih di bulan Ramadhan, tiada amalan ibadah yang dikhususkan hanya pada 15 Syaaban seperti qiamulail, puasa dan sebagainya. Tetapi semua amalan itu boleh dilakukan pada setiap masa termasuk semasa nisfu Syaaban. Berdasarkan beberapa hadith;

Dari Usamah b. Zaid ra. berkata, “Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain sepertimana engkau berpuasa di bulan Syaaban”. Rasulullah bersabda, “Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, di antara Rejab dan Ramadhan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekalian alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa”-Riwayat An-Nasaie-

Abu Hurairah ra. berkata (bahawa) “Kekasihku (Nabi saw) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara (iaitu) puasa 3 hari setiap bulan (13,14 dan 15 haribulan), 2 rakaat Dhuha dan solat witir sebelum aku tidur”. –Riwayat Al-Bukhari-

Dari Abu Hurairah ra. sesungguhnya Rasulullah saw bersabda (bermaksud) “Tuhanku turun ke langit dunia setiap malam bila tinggal 1/3 akhir malam dan berfirman: Mana orang yang berdoa kepada Aku, untuk Aku memperkenankan doanya? Mana orang yang meminta kepada Aku, untuk Aku berikan kepadanya? Mana orang yang memohon keampunan-Ku, untuk Aku mengampuninya?”-Riwayat Al-Bukhari-

puasa pada nisfu Syaaban termasuk dalam puasa sunat 13,14 dan 15 hari bulan pada setiap bulan. Ibadah qiam pula adalah ibadah yang sunat dilakukan pada setiap hari termasuk malam nisfu Syaaban di mana Allah turun ke langit dunia mencari hamba-Nya yang memohon kepada-Nya. Peringatan untuk diri sendiri juga, di manakah kita pada 1/3 malam sedangkan Allah turun ke langit dunia untuk memperkenankan doa, memberi pintaan dan keampunan? Jika kita masih lena dibuai mimpi, ayuhlah kita sama-sama berusaha untuk melawan nafsu tidur kita dan gunalah masa itu dengan sebaiknya untuk mendampingi Tuhan kita.

Ayuhlah sahabat, tiada istilah terlambat dalam beribadah dan bertaubat kepada Allah kecuali apabila matahari terbit dari barat ke timur. Mulakan perubahan mengikut kemampuan, walaupun sedikit yang penting adalah berterusan. Hal ini berdasarkan hadith;

Aisyah ra. meriwayatkan dengan berkata bahawa Nabi bersabda “Beramallah dengan mengikut kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga yang jemu(dulu-penat)”. Aisyah ra. menyambung “Solat yang paling disukai Nabi saw ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit. Adalah Nabi saw apabila solat, dia mengerjakan secara konsisten .”-Riwayat Al-Bukhari-

“Allah tidak pernah jemu dengan kita sehingga kita yang jemu dahulu” malu rasanya dengan Allah. Berdoalah secara berterusan agar Allah perbaharui dan tingkatkan iman kita dan agar kita diberi kekuatan untuk lebih taat kepadanya, kerana itu semua datang daripada Allah. Sungguh hidayah itu milik-Nya, namun bukanlah menjadi alasan untuk kita berdiam diri dan menunggu hidayah itu datang dengan sendirinya, kita perlu berusaha untuk memperolehinya dengan sentiasa mentaati perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Siapalah kita untuk menunggu hidayah Allah tanpa berusaha memperolehinya, sedangkan Nabi saw yang dijanjikan syurga tidak pernah berhenti untuk beribadah dan mentaati Rabbnya.